Saturday, July 28, 2012

PUASA DAN FIDYAH



Puasa atau dalam istilah arabnya saum secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)


Orang Yang Dilarang Puasa


Wanita yang didatangi haid dan nifas. Diriwayatkan dari 'Aisyah ra. ia berkata :
“Disaat kami haidh di masa Rasulullah saw, kami dilarang puasa dan diperintahkan mengqadhanya, dan kami tidak diperintah mengqadha Shalat " ( H.R Bukhary Muslim)

  1. Orang Yang Diberi Kelonggaran Tidak Berpuasa
  2. Orang yang musafir yang tiada tenaga dalam musafirnya oleh berbuka dan wajib ia ganti puasa tersebut.
  3. Orang yang uzur seperti orang tua yang tidak mempunyai kekuatan untuk berpuasa.
  4. Ibu yang menyusu anaknya, kalau di dapati ibu tersebut lemah disebabkan anaknya menyusu dan lemah disebabkan puasa, maka ibu tersebut boleh berbuka puasanya.
  5. Orang Islam yang pergi berperang dan berhadapan dengan musuh Islam, maka dibolehkan mereka berbuka untuk memberikan kekuatan kepada mereka melawan musuh Islam.
  6. Orang yang sakit dan dinasihatkan oleh doktor perubatan bahawa beliau tidak perlu puasa dan jika ia puasa sakitnya lebih teruk lagi.
  7. Wanita yang hamil dan dinasihatkan oleh doktor supaya tidak berpuasa, kerana dikuatiri dirinya menjadi lemah dan akan membahayakan kandungannya, maka wanita itu tidak wajib berpuasa.



Cara Menggantikan Puasa Ramadhan


Orang Islam yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadhannya, wajib digantikan kembali puasanya jika ia berkuasa dan sakitnya sembuh selepas puasa nanti. Orang yang musafir yang berbuka puasanya disebabkan tiada kuasa dalam perjalanannya, maka ia diwajibkan ganti semula puasanya selepas bulan Ramadhan.

Tahun pertama orang yang meninggalkan puasanya atau berbuka puasanya, maka ia diwajibkan ganti semula kesemua puasa yang ditinggalkannya. Tetapi bagi orang yang memang tidak mampu untuk berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa, jika ia puasa akan mendatangkan kemudharatan kepadanya. Maka ia tidak diwajibkan menggantikan puasanya dan ia diwajibkan Fidyah kepada orang miskin.


Cara Mengeluarkan Fidyah


Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Hukum membayar fidyah adalah WAJIB . Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Sekiranya bilangan hari tersebut telah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan.

Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.

“(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi Fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 184)


*Jika anda ragu-ragu sila lawati http://www.e-zakat.com.my/kalkulator-zakat/fidyah/

Fidyah dikenakan kepada orang yang tidak mampu berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa lagi. Maka dengan itu Islam telah memberikan keringanan (rukshoh) kepada mereka yang tidak boleh berpuasa dengan cara membayar Fidyah iaitu memberikan secupak beras kepada orang fakir miskin. Begitu juga kepada orang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang puasa Ramadhan kembali (setahun), maka dengan itu mereka dikehendaki berpuasa dan juga wajib memberikan secupak beras kepada fakir miskin. Begitu juga pada tahun seterusnya. Fidyah akan naik setiap tahun selagi mana orang tersebut tidak menggantikan puasanya. Untuk semakkan atau perkiraan boleh klik di sini.


Wajib Qada puasa dan wajib bayar fidyah. Contohnya :

Orang meninggalkan puasa kerana uzur syar’ie ataupun dengan sengaja.
Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang takut akan kesihatan anaknya atau takut akan kesihatan dirinya dan janinnya.
Pengiraan Fidyah Dengan Gandaan

Seseorang meninggalkan puasa pada 5 tahun yang lalu selama 15 hari tanpa diganti puasanya sehingga tiba Ramadhan berikutnya :

15 (Jumlah puasa ditinggalkan)
x 15 (Jumlah gandaan bagi 5 tahun)
x RM 7.50 (Jumlah zakat fitrah semasa)
x 1/4 = RM 421.90 



Fidyah tidak boleh digantikan dengan zakat, kerana zakat dan Fidyah adalah dua perkara yang berbeza. Zakat fitrah lain dan Fidyah juga lain. Jika anda terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk membayar Fidyah, maka anda boleh wakilkan kepada orang yang dipercayai untuk membayar fidyah anda kepada fakir miskin.

Ketika memberi kepada fakir miskin dengan kadar yang telah ditetapkan bagi tujuan membayar fidyah memadai dengan niat sahaja. Tetapi jika membayar fidyah melalui jawatankuasa masjid atau mereka yang menjalankan tugas berkaitan dengan hal ehwal Islam adalah lebih baik dinyatakan tujuan anda itu.

Sebagai seorang Islam yang mengakui menjunjung perintah Allah janganlah lalai untuk mengqada’ puasa yang ditinggalkan itu. Lagi cepat kita qada’ lagi besar faedahnya yang kita dapati dan ringan penanggungan kita terhadap Allah S.W.T.


soalan lazim dari orang ramai:

  • Banyak mana sebenarnya ukuran secupak beras?


Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi jauh lagi nak sampai satu kilo.

Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.

  • Selepas bayar fidyah, adakah saya bebas dari hutang puasa?

Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diqada’ (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari qada’. Jumlah fidyah meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.

  • Habis, kenapa perlu bayar fidyah kalau tak bebas hutang?

Bayar fidyah adalah kerana lewat mengqada’. Sama seperti konsep kad kredit, lewat bayar kena denda, tapi hutang lama masih perlu diselesaikan.

  • Kepada siapa seelok-eloknya kita perlu membayar fidyah?

Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di kawasan tempat tinggal kita.

Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti wajib diutamakan.

Ini kerana kedudukan mufti negeri adalah yang tertinggi selepas sultan. Mufti negeri merupakan suara kepada sultan dalam bab agama. Oleh sebab itu, wajib dituruti. Sebab itu dalam Islam, mufti tidak perlu menjadi terkenal. Seorang mufti adalah seorang yang senyap, tidak banyak berkata-kata, bersembang, dan sebagainya yang boleh menjatuhkan kredibiliti seorang yang berdarjat tinggi.




No comments: