Mersing Laguna jana ekonomi
14/09/2012 - 07:58:08AM
Oleh: Syed Ridzuwan Ismail, Iskandar
Ibrahim dan Mohd Sah Muda
SULTAN IBRAHIM menyempurnakan majlis pecah tanah Mersing Laguna dan Festiva Mersing sambil diperhatikan Abdul Ghani (kanan); Zong Lin (empat dari kiri); Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (dua dari kanan) dan Ungku Safian (kiri) di Mersing, semalam. Projek eko pelancongan tambah sumber pendapatan penduduk tempatan
|
MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah,
pembinaan projek Mersing Laguna bernilai kira-kira RM22 bilion bakal memberi
manfaat besar kepada ekonomi serta seluruh rakyat negeri ini. Sultan Ibrahim
bertitah, cadangan pembinaan projek berkenaan diperkenankan baginda selepas
melihat keadaan ekonomi semasa dan manfaat yang bakal diperoleh rakyat di
Mersing.
Titah baginda, walaupun dimaklumkan dari awal mengenai
projek itu, baginda hanya memberi perkenan selepas lima tahun susulan pelbagai
kajian dibuat berkaitan impak yang bakal memajukan daerah ini sebagai bandar
eko pelancongan.
“Mersing adalah sebuah daerah yang mempunyai kekayaan alam
semula jadi yang berharga. Pulau yang ada sekitarnya menjadi tarikan pelancong.
Namun, bandar ini yang dibuka sejak 1892 masih belum membangun dengan pesat
berbanding bandar lain di Johor.
“Ketika ini, bandar Mersing hanya menjadi laluan dan
persinggahan pelancong. Penduduknya juga masih banyak bergantung pada sumber
ekonomi perikanan yang bermusim dan pendapatan yang tidak menentu.
“Pada hemat saya, sudah tiba masa rakyat Mersing berubah ke
arah kehidupan yang lebih baik dengan sumber pendapatan lebih tinggi dan
terjamin melalui peluang yang ada menerusi projek Mersing Laguna,” titah
baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Pecah
Tanah Projek Mersing Laguna di Dataran Pulau Mersing, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden
Power Contructions Corporation China, Ma Zong Lin dan Ketua Eksekutif Radiant Starfish
Development Berhad, Ungku Safian Abdullah.
Sultan Ibrahim bertitah, bagi melicinkan pembangunan projek
titu, rakyat daerah ini diminta memberikan kerjasama bagi membantu menaik taraf
bandar Mersing.
“Jangan kita bersifat cemburu, menabur fitnah atau cuba
mengkhianati usaha yang akan dilaksanakan ini. Suka saya ingatkan jangan juga
ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat bantahan atau tuntutan
yang tidak sepatutnya untuk kepentingan diri atau politik.
“Saya sendiri akan mengawasi kemajuan projek ini supaya
dibuat dengan baik dan sempurna. Penduduk yang mempunyai masalah berkaitan
projek ini boleh memaklumkan kepada pegawai daerah yang kemudian akan
menyampaikan kepada saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment