2011/11/27
KOTA BHARU: Baucar
buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi, yang diumumkan
dalam Belanjawan 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan,
kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor.
Beliau berkata,
mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucar dengan buku untuk
dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri
Khaled Nordin tidak lama lagi.
"Kira-kira 1.2
juta pelajar akan menikmati kemudahan itu," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti
Malaysia 2011 di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua
Pengarah Kolej Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Malaysia, Prof Madya Kamarudin
Kasim.
Ab Rahim berkata,
langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan
kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan
modal insan yang berkualiti.
Dalam Belanjawan
2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian baucar buku
RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi
awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam.
Terdahulu, dalam
ucapannya Abd Rahim berkata, Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian
Tinggi adalah bertujuan untuk menggalak dan memantapkan pembangunan
keusahawanan yang lebih terancang dan holistik di kalangan IPT.
"Ini selaras
dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran,
atribut dan nilai keusahawanan.
"Dasar ini
juga adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan
siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi
negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah
pencapaian negara maju menjelang tahun 2020," katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment